SIAPAKAH BUJANG SENANG

 


Konon kisahnya, suatu ketika dahulu ada seorang pahlawan Iban yang sangat handal. Namanya Simalungun. Kehebatan Simalungun memenggal kepala musuh tiada tandingannya. Bagaimanapun, sehandal-handal Simalungun akhirnya tewas juga. Dia ditangkap bersama isterinya dan seterusnya dihukum sula sampai mati.

Mayat mereka kemudian dicampak ke Sungai Batang Lupar. Dari situlah bermula cerita kononnya mayat Simalungun telah bertukar menjadi seekor buaya dan akan membaham keturunan musuh yang terlibat membunuhnya. Begitulah salah satu versi mitos Bujang Senang, buaya penguasa Sungai Batang Lupar.

Bujang Senang mula membunuh mangsanya pada awal 1940-an. Namun namanya menjadi terkenal pada 1982 selepas media massa melaporkan cerita ia membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali, Sri Aman.

Kejadian itu berlaku semasa Penghulu Bangan sedang menangguk udang di Sungai Batang Lupar, bersama abangnya, Kebir. Semasa Bujang Senang timbul membaham Penghulu Bangan itulah Kebir nampak ada jalur putih di atas badan reptilia berkenaan.



Ya, itulah tanda aneh yang hanya ada pada Bujang Senang. Itulah buaya yang selama ini membaham ramai penduduk. Operasi memburu Bujang Senang tidak membuahkan hasil. Buaya itu sebaliknya terus mengganas. Sejak 1982 hingga 1992, seramai 13 orang maut dibahamnya, hinggalah pada 22 Mei 1992…

Hari itu Bujang Senang telah membunuh Dayang anak Bayang, 20, semasa gadis Iban itu sedang menyeberang Sungai Pelaban, iaitu cabang Sungai Batang Lupar, bersama ibunya.

Seorang bomoh berjaya memanggil Bujang Senang memunculkan diri ke permukaan air. Bomoh bernama Mandau itu merejam tombaknya tepat ke kepala Bujang Senang. Buaya itu tidak mati, sebaliknya tombak yang patah.

Bujang Senang melarikan diri, dan penduduk setempat memburunya di setiap batang sungai. Akhirnya Bujang Senang terperangkap. Usahanya melarikan diri ke Sungai Pelaban terhadang oleh sebatang kayu besar.

Waktu inilah penduduk kampung Pelaban, Suduku dan Lingga mengepungnya. Sebanyak 40 das tembakan menggunakan peluru paku sepanjang 10 sentimeter dilepaskan dan 22 daripadanya tepat menembusi kepala reptilia itu.

Akhirnya matilah Bujang Senang. Bangkainya diukur; panjangnya hampir 20 kaki, lebar badannya empat kaki. Dan benarlah, di atas badan buaya itu ada jalur putih. Di dalam perutnya ada anggota badan manusia.

Bangkai Bujang Senang kemudian dilemparkan semula ke dalam sungai, sebelum seorang penduduk memotong kepalanya beberapa hari kemudian dan dijadikan kenang-kenangan untuk kita semua.

Tapi awas… ada yang berkata, itu bukan Bujang Senang. Sebab, Bujang Senang takkan dapat ditewaskan. Ia akan terus mengganas sampai bila-bila…





Comments

Popular posts from this blog

Tebuan Gergasi Jepun, Tebuan yang Mampu mambunuh Manusia

EPAL BERWARNA UNGU